Jumaat, 2 Jun 2017

Marks didakwa ancam letupkan pesawat MAS


MELBOURNE – AUSTRALIA. Lelaki warga Sri Lanka yang menetap di Australia didakwa di sebuah mahkamah di sini pada Jumaat atas kesalahan mengancam untuk meletupkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH128, lapor agensi berita China Xinhua. Insiden itu menyebabkan pesawat yang dalam perjalanan dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik selepas lelaki dikenali sebagai Manodh Monaragala Marks mendakwa memiliki bahan letupan dan cuba menceroboh kokpit.

Tindakan beberapa penumpang penerbangan berjaya menumpaskan lelaki berkenaan dan menahannya sementara menunggu ketibaan pihak polis.
Marks yang menghadapi pertuduhan membahayakan keselamatan pesawat serta tidak dibenarkan diikat jamin, bagaimanapun tidak hadir di mahkamah atas faktor keselamatan.
Mahkamah Majistret Melbourne difahamkan semasa dalam tahanan, lelaki itu memohon untuk mendapatkan rawatan psikiatri.

Jika didapati bersalah Marks boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Sementara itu, rekod masa tindak balas menunjukkan anggota keselamatan mengambil masa 104 minit untuk memasuki pesawat selepas Pusat Penyelarasan Operasi Polis Persekutuan Australia (AFP) dimaklumkan mengenai kejadian.
Ketua Pesuruhjaya Polis Victoria Graham Ashton berkata, pada awalnya polis bertindak berdasarkan prosedur ancaman keganasan dan adalah berbahaya bertindak tergesa-gesa memasuki pesawat. "Kita perlu memastikan semua kemungkinan telah diambil kira termasuk tindak balas pesalah atau jika terdapat bahan letupan lain," kata Ashton kepada pemberita. Menurut Menteri Victoria Daniel Andrews pula, beliau yakin dengan tindakan pihak berkuasa dalam menangani situasi berkenaan dan memuji tindakan penumpang serta anak kapal. Sumber : www.sinarharian.com.my

Tiada ulasan:

JustForex
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...