Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pulau Pinang memberitahu tangkapan melibatkan anggota polis merupakan tangkapan terbesar di negeri ini. Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Aban berkata, anggaran tangkapan melibatkan anggota polis sekitar 20 hingga 30 peratus jumlah tangkapan keseluruhan di negeri ini. "Bagaimanapun setakat ini, tangkapan tidak melibatkan pegawai dan anggota polis trafik," katanya.
Dalam pada itu, orang ramai diminta agar tidak takut atau gusar untuk laporkan sebarang jenis salah laku berkaitan rasuah.

"Mereka tak perlu takut kerana itu merupakan tanggungjawab pengguna jalan raya sebagai seorang warganegara.
"Itu tanggungjawab kita bersama, pengguna jalan raya adalah warganegara mempunyai hak untuk bersuara. Mereka boleh laporkan apa saja tentang rasuah dan mereka boleh kedepan untuk bertemu kami dan kita bersedia untuk jalankan siasatan apa yang diadukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir dalam program Advokasi Pencegahan Rasuah anjuran SPRM Negeri bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri serta Lingkaran Luar Butterworth (Penang) Sdn Bhd di Plaza Tol Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth di sini hari ini.
Katanya, pengguna jalan raya juga tidak perlu bimbang akan khuatir akan keselamatan mereka sekiranya melaporkan tentang gejala rasuah yang berlaku.
"Pengguna jalan raya kadangkala takut nak laporkan kepada pihak SPRM khuatir akan identiti mereka diketahui dan saya tegaskan dalam hal ini tak perlu takut untuk laporkan.

"SPRM mempunyai akta perlindungan pemberi maklumat dan akta perlindungan saksi dimana kita boleh membantu mereka sekiranya bekerjasama dengan SPRM," katanya.
Tambahnya, kempen ini sekaligus diadakan untuk mendekati pengguna jalan raya dan menyampaikan risalah mengenai pencegahan rasuah dan nasihat supaya menjauhi rasuah.
"Kita tegaskan agar jangan 'kawtim,' jangan 'settle,' dan beberapa penunggang yang kami temui hari ini bersetuju untuk bersama kami dalam kempen perangi rasuah, sekaligus benci, tolak, dan perangi rasuah.
"Dan kami di SPRM amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat untuk memberikan sebarang maklumat dan laporkan saja kepada SPRM, kami bersedia menyiasat apa-apa saja perlakuan rasuah seperti itu," katanya.

Sumber : Sinar Online