Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan Doris Jones atas dakwaan menghasut untuk membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia menerusi laman media sosial Facebook. Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya akan menjejaki Doris yang kini berada di luar negara.
“Kita akan berhubung dengan pihak Interpol sebagai usaha mencari dan menahan Doris yang dikehendaki pihak keselamatan negara berikutan aktiviti berbaur hasutan yang dilakukannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Op Selamat Keenam sempena perayaan Tahun Baru Cina, di Kota Kinabalu, hari ini.
Katanya, waran tangkap terhadap Doris dikeluarkan pada Januari lepas oleh Mahkamah Majistret Tuaran dan menerusi waran itu Prosedur Operasi Standard (SOP) secara automatik terlaksana dengan semua pintu masuk akan mendapat maklumat mengenai waran itu.
Waran tangkap itu dikeluarkan bagi memerintahkan Doris untuk hadir di mahkamah hari ini untuk menjawab pertuduhan terhadap beliau mengikut Akta Hasutan 1948.
Sementara itu, Jalaluddin percaya gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) itu didalangi oleh parti pembangkang.
Doris melalui profil di Facebooknya mendakwa dia merupakan warga Sabah dan kini menetap di United Kingdom dan bekerja di bidang perundangan. – Bernama
Sementara itu, Doris Jones, yang di kehendaki kerana didakwa menggalakkan pemisahan Sabah dan Sarawak dari Malaysia, tidak berniat untuk pulang ketanah air bagi menghadapi tuduhan menghasut.
Jones, yang menyeru agar Sabah dan Sarawak keluar Malaysia melalui media sosial, terutama melalui halaman Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) halaman menghubungi The Star pada Ahad selepas wartawan cuba mencari di laman Facebook miliknya.
Jones berkata, dia tidak tahu apa-apa mengenai saman yang dikeluarkan ke atasnya pada bulan lepas bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Hasutan yang membawa kepada pengeluaran waran tangkap oleh polis Malaysia pada Rabu lalu.
Katanya, terpulang kepada pihak berkuasa Malaysia untuk menggunakan saluran yang betul bagi mengekstradisinya, dan mengelak memberitahu lokasi sebenar ketika ditanya.
“Mereka boleh cuba untuk mendapatkan saya di United Kingdom, Kesatuan Eropah (EU) atau mungkin di Australia. Mereka boleh cuba.
“Saya tidak fikir Malaysia mempunyai perjanjian ekstradisi dengan EU,” kata aktivis berusia 46 tahun, yang cukup berhati-hati mendedahkan identitinya.
“Saya Doris Jones,” katanya ketika ditanya sama ada dia Doris Yapp Kim Youn dari Labuan, seperti mana tercatit di waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.
Ketika ditanya sama ada dia masih lagi warganegara Malaysia, jawabnya: “Saya tidak mahu menjawab soalan itu. Saya dari Sabah.
“Walau bagaimanapun, Jones, yang dipercayai berpangkalan di London, berkata dia bertanding dalam pilihan raya Mei 2014 untuk Parlimen Eropah melalui Parti Kebangsaan Liberal yang berpangkalan di United Kingdom di atas platform ‘penentuan sendiri’.
Sekurang-kurangnya 14 aktivis di Tuaran dan Kota Kinabalu telah ditahan awal bulan ini kerana dikatakan cuba mendapatkan tandatangan daripada orang ramai dan mengedarkan bahan-bahan puak pemisah.
Mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis. mStar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan