Khamis, 8 Disember 2016

Sekolah di pedalaman Sabah tiada perhatian kerajaan



Tiada siapa dapat menyangka bahawa masih wujud 'sekolah dalam hutan' dengan keadaan yang sangat daif, tetapi itulah yang berlaku di Sandakan.
Terletak di Jalan Labuk Batu 8, sebuah perkampungan Melayu di sini telah mendirikan sekolah di dalam hutan tanpa menerima bantuan daripada kerajaan sama ada kerajaan negeri mahupun persekutuan sejak tahun 2000 sehingga ke hari ini.
ARiF Sabah diketuai Yunizam Yusof telah mengadakan lawatan ke perkampungan tersebut.
Menurut beliau, aktiviti pembelajaran di sekolah ini hanya tertumpu kepada kemahiran 3M iaitu menulis, mengira dan membaca.
"Di sekolah, tiada subjek lain yang diajarkan. Hanya membaca, mengira dan menulis", katanya.
Yunizam yang juga Timbalan Ketua Pemuda Amanah Sabah memberitahu sebuah sekolah lagi sedang didirikan bagi mengajar subjek pendidikan Islam.
Mereka telah menamakan sekolah itu dengan nama kampung mereka iaitu “A Ketua Kampung School, Kampung Malayu Soperwin”.
Menurutnya lagi, seramai 56 orang pelajar berumur antara 6 hingga 18 tahun sedang belajar di sekolah tersebut dengan hanya mengenakan yuran 50 sen bagi setiap seorang pelajar.
"Yuran dikenakan kepada pelajar hanya 50 sen seorang. Dan sekolah sangat mengharapkan bantuan buku sekolah, alat tulis, Al-Quran serta peralatan solat untuk pelajar lelaki dan perempuan", ujarnya.
ARIF Sabah yang telah mendapat laporan mengenai sekolah ini telah bergegas menyampaikan bantuan kepada pihak sekolah.
Arif Sabah bergambar kenangan dengan kanak-kanak selepas menyalurkan bantuan bahan bacaan dan merancang aktiviti ini akan diteruskan dengan bantuan peralatan pembelajaran.

Arif Sabah bergambar kenangan dengan kanak-kanak selepas menyalurkan bantuan bahan bacaan dan merancang aktiviti ini akan diteruskan dengan bantuan peralatan pembelajaran.
Rombongan ARiF Sabah telah menyampaikan 100 set buku Iqra’ kepada para pelajar di sekolah tersebut dan bercadang akan akan memberikan set buku dan alat tulis lagi kepada pelajar sekolah tersebut.
“Semalam kami hanya menyampaikan buku Iqra’ kepada pihak sekolah. InsyaAllah selepas ini kami akan susuli dengan bantuan buku, alat tulis serta keperluan solat untuk para pelajar. Sekolah memerlukan 150 set buku, alat tulis dan keperluan solat untuk sekolah akademik dan sekolah agama.”
Justeru itu, ARiF Sabah mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada orang ramai atau mana-mana badan yang ingin membantu pembangunan sekolah ini. Sebarang pertanyaan mengenai sekolah ini boleh berhubung dengan Yunizam Yusof di talian, 014 8333310.
Sumber : http://www.malaysiadateline.com/

Tiada ulasan:

JustForex
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...