Selasa, 5 Mei 2020

VIP, isteri dan anak-anak di Malaysia

Tiga tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada memberitahu penyiaran posting media sosial adalah antara sumber maklumat bagi badan itu menjejaki kekayaan yang didapati dengan cara tidak betul. Dalam erti kata lain, diperoleh secara haram.

Lantas kakitangan kerajaan dan keluarga mereka yang gemar menunjuk-nunjuk percutian di luar negara yang menelan belanja besar serta mempamer barangan mewah milik mereka di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram mengundang perhatian SPRM.
Kata Azam Baki, ketika itu timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM, walaupun bukanlah satu jenayah bagi kakitangan awam dan anggota keluarga mereka memiliki beg tangan dan jam jenama mewah tetapi “jika mereka mempunyai banyak beg Hermes, Chanel atau Louis Vuitton, ini akan menimbulkan persoalan dan syak terhadap sumber kekayaan itu.”
Dan kata Azam lagi:” Jika kakitangan awam serta anggota keluarga mereka memiliki lebih daripada satu dozen barangan mewah dan menayangkan untuk khalayak ramai kami mahu tahu mana mereka dapat wang untuk membeli barangan itu.”
Berdasarkan apa yang dikatakan Azam itu, saya bertanya menerusi artikel saya buat The Edge pada 23 Januari 2017, sama ada kita boleh menjangkakan SPRM menjangkau lebih jauh daripada itu.
Azam Baki
Maksudkan SPRM akan juga perhatikan menteri dan ahli parlimen. Ini kerana ketika itu anggota keluarga menteri, timbalan menteri serta ahli parlimen amat gemar memperagakan kemewahan mereka menerusi media sosial. Facebook dan Istagram adalah platform kegemaran mereka untuk berbuat demikian.
Umpamanya, barisan kereta mewah dan jam tangan mahal dikatakan milik anak seorang menteri kerap dilihat di Facebook dan Instagram. Gambar gambar itu dinaik muat sendiri oleh anak menteri berkenaan.
Ada juga anak remaja seorang lagi menteri yang mengucapkan terima kasih kepada daddy kerana menghadiahkannya beberapa pasang kasut berjenama yang dianggarkan berharga RM5,000 sepasang. Penghargaan kepada ayahnya dibuat menerusi Instagram.
Gambar seorang menteri dan keluarga ketika bercuti di Eropah termasuk berlayar dengan kapal mewah di perairan Greece juga ditayangkan.
Begitu juga posting Instagram seorang isteri ahli parlimen menunjukkan kekerapan beliau dan keluarga pergi bercuti secara mewah di Asia dan Eropah yang disulami fine dining di restoran terkemuka dan membeli belah di gedung terkemuka. Semuanya boleh dilihat, ketika itu, di media sosial. Semua hanya a click away.

Pesan Megat Junid
Perlu ditegaskan saya tidak menuduh apa apa terhadap sesiapa ketika menulis artikel saya tiga tahun lalu. Tidak ada salahnya menteri, timbalan menteri, YB dan keluarga mereka pergi menikmati percutian mewah dan memiliki barangan mahal.
Cuma bak kata Azam memperagakan barangan dan cara hidup mewah berlebihan boleh menarik perhatian SPRM dan menimbulkan persoalan orang ramai. Itu sahaja.
Kini saya teringat pula coretan allahyarham Megat Junid Megat Ayob dalam bukunya berjudul Getek terbitan tahun 2000.
Allahyarham adalah ahli politik Umno berasal dari Perak yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha parlimen, timbalan menteri dan menteri. Kesimpulannya allahyarham adalah seorang pemimpin Umno yang terkenal.
Dalam bukunya yang saya sebut tadi allahyarham Megat Junid antara lain menulis mengenai gelagat wakil rakyat yang gemar berlagak dengan kereta mewah dan pakaian semasa melawat kawasan. Lazimnya di kampung.
Allahyarham Megat Junid Megat Ayob 
Turut ditonjolkan ialah perangai isteri si wakil rakyat ketika mengiringi suami melawat kampung.
“Isteri pun ikut sama. Bukan main, make-up pun dah lain. Fesyen rambut pun dah lain. Bersalam pun dah lain. Sentuh hujung tangan sahaja. Baju mahal. Pakai barang kemas mahal mahal. Buat apa nak tunjuk orang kampung. Buat apa nak lawan orang kampung.
“Duduk mesti main table. Duduk mesti tepi suami (wakil rakyat). Kalau tidak nanti orang tak kenal. Lepas minum buka beg. Ambil cermin kecil. Ambil tisu betul betulkan make-up. Ambil lipstick. Betulkan lipstick di bibir.
“Orang kampung tak suka. Orang kampung meluat. Orang Perak kata getek betul aku tengok.”
Menurut allahyarham Megat Junid ”getek” adalah bahasa orang Perak jati yang membawa erti “meluat, muak, menyampah dan benci yang amat sangat”.
Dewasa ini adakah YB dan isteri yang berkelakuan seperti yang allahyarham Megat Junid katakan 20 tahun lalu?
Adakah menteri, isteri dan anak anak mempamerkan kemewahan di platform media sosial seperti pada tahun 2017?
Dan adakah anak menteri berlagak dan berbuat sesuka hati hanya kerana ayah dia orang besar?
Jika ada rakyat akan kata “Getek betul aku tengok”. Tak kira sama ada rakyat orang Perak atau mana pun.

Jasa Ustaz Ebit Lew dikenang ke akhir hayat


SEORANG tukang cuci dari Kampung Teras, Raub tidak menyangka hasratnya meminta bantuan daripada pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew mendapat perhatian segera.
Diana Yazid, 32 berkata, dia menulis status di Facebook milik pendakwah terbabit Sabtu lalu, merayu bantuan membaiki dinding dan bumbung pondok didiami mereka sekeluarga yang sering dimasuki air terutama ketika musim hujan.
"Dalam tempoh 10 minit, Ustaz Ebit Lew memberikan maklum balas dan menghubungi saya, selain memberitahu akan ke pondok saya.
"Sebaik tiba, Ustaz Ebit meninjau kawasan pondok didiami bersama suaminya, Qayyimum Norminto, 45 dan anak perempuannya, Aulia Izzatul Nissa, 1 tahun 4 bulan.


"Bagaimanapun, saya tidak menduga Ustaz Ebit mencarikan kami rumah sewa yang lebih selesa dengan kadar sewa RM500 ditanggung sepenuhnya oleh beliau," katanya hari ini.
Malah, Diana berkata, Ustaz Ebit Lew turut menjelaskan sewa selama dua bulan selain turut menanggung bil air dan elektrik.
Katanya, dia dan suami sangat bersyukur dan tidak menyangka pendakwah terkenal itu sanggup ke kampung berkenaan bertemu mereka dan membantu keluarganya.

USTAZ Ebit Lew bersama Diana di hadapan rumah sewa baharu yang berjaya diperolehi oleh pendakwah bebas terkenal terbabit untuk keluarga berkenaan. FOTO ihsan Pembaca
USTAZ Ebit Lew bersama Diana di hadapan rumah sewa baharu yang berjaya diperolehi oleh pendakwah bebas terkenal terbabit untuk keluarga berkenaan. FOTO ihsan Pembaca

"Saya tidak meminta bantuan sampai ke tahap itu tapi rezeki itu datang di dalam bulan yang mulia. Syukur dan terima kasih kepada Ustaz Ebit Lew, jasanya akan kami kenang sampai ke akhir hayat.
"Bagaikan mimpi (dapat tinggal di rumah lebih selesa) dan ini hadiah paling bermakna buat kami sekeluarga untuk Ramadan dan Aidilfitri ini.
"Namun saya dan suami nekad untuk mencari rezeki lebih dan berusaha untuk menjelaskan sewa rumah ini nanti sendiri ," katanya yang berasal dari Pulau Pinang dan menetap di daerah itu sejak tujuh tahun lalu.
Diana berkata, sebelum ini dia bekerja secara separuh masa di sebuah resort dengan pendapatan RM200 sebulan manakala suaminya menoreh getah dengan pendapatan kurang menentu.
Katanya, banyak pihak turut membantu keluarganya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandangkan keluarga mereka turut terkesan dengan perintah itu.

PKP: 4 beranak hidup susah di pondok usang dibantu jiran India, tokong

Pondok buruk yang menjadi tempat berlindung Muhamad Farid dan keluarganya selepas terpaksa keluar dari bilik sewa disebabkan tidak mampu membayar sewa. - Gambar Astro AWANI

JOHOR BAHRU: Jiran India masakkan makanan setiap hari, pengurusan tokong bantu sediakan bekalan elektrik dan air.

Itu antara bantuan diterima Muhamad Farid Ibrahim bersama isteri dan dua anaknya yang mendiami sebuah pondok buruk di Jalan Lumba Kuda di sini, berikutan kesusahan hidup akibat tidak dapat bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Keadaan itu membuktikan hakikat betapa sebilangan besar rakyat Malaysia sebenarnya sentiasa bersedia membantu orang lain yang berada dalam kesusahan tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.

Menceritakan masalah dihadapinya, Muhamad Farid berkata, dia terpaksa membawa keluarganya menumpang pondok kecil yang sempit dengan keadaan dinding sudah reput itu selepas tidak mampu membayar sewa bilik RM500 sebulan.
Katanya, menyedari keadaan pondok yang usang dan daif dikelilingi semak itu, pengurusan tokong berhampiran tampil menyediakan bekalan elektrik dan air secara percuma kepada mereka.

Dia yang berasal dari Kelantan berkata, disebabkan langsung tidak mempunyai wang simpanan, dia sekeluarga termasuk anak berusia sembilan dan 16 tahun kerap kelaparan.

Mujur nasib menimpa keluarga itu mendapat simpati jiran berdekatan, D. Rajamohan yang kerap menyediakan makanan untuk mereka.

“Memang susah sangat-sangat sampai tidak tahu hendak minta tolong siapa. Satu bulan kami makan di rumah Uncle Babu (Rajamohan), isterinya tolong masakkan tiga kali sehari.

“Selepas makan, kami mahu balik, Uncle Babu kerap kata tidak perlu balik ke pondok kerana anak tidak selesa, tetapi saya malu untuk tinggal di rumahnya.

“Walaupun dia bangsa lain, saya lain, Uncle Babu tidak kisah dan tetap tolong... dia kata tolong orang paling penting. Saya tak kisah untuk petik pucuk ubi dan korek ubi untuk direbus, namun Uncle Babu tetap beri 10 kilogram beras dan lain-lain," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai mekanik.

Dia sebelum ini mencuba pelbagai usaha untuk mencari wang termasuk mencagarkan telefon bimbitnya.

Sementara itu, isterinya, Siti Zaleha Ismail turut menyatakan kebimbangan dengan keadaan kawasan pondok itu yang semak dan mungkin mengundang haiwan berbisa, selain keselamatan anak perempuan mereka yang sedang meningkat remaja.

"Keadaan rumah macam ini, orang lalu lalang, kita ada anak dara, kalau tidak ada anak dara tidak kisah.

“Kalau ada apa terjadi, dia perempuan... itu yang saya bimbang,” ujarnya.

Zaleha turut berharap dua anaknya dapat bersekolah kerana tidak dapat mendaftarkan persekolahan mereka tahun ini disebabkan kekangan kewangan.

Masalah mereka turut mendapat perhatian kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang menyalurkan bantuan dengan segera.

Ketua Penolong Pengarah MAINJ, Khairul Nizam Mat Said berkata, pihaknya dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan telah mendapatkan satu unit rumah pangsa di Taman Cendana, Pasir Gudang untuk keluarga itu.

"MAINJ akan membantu mendapatkan rumah di Taman Cendana itu dan urusan sewa selama dua tahun serta deposit akan diuruskan oleh kami serta SUK Perumahan.

"Kita akan pastikan keluarga ini mendapat bantuan sewajarnya dan hidup dalam keadaan selesa," katanya yang turut menyerahkan bantuan segera RM500.

Sebelum ini, Muhamad Farid telah ditawarkan pekerjaan oleh Econsave sekiranya dia mendapat kediaman berdekatan dengan salah satu cawangan pasar raya terbabit.

JustForex
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...